PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), Westports Malaysia Sdn. Bhd. (Westports) dan Pusat Perubatan iHEAL (iHEAL) telah bekerjasama menganjurkan Program Pemberian Vaksin Penggalak Covid-19 dengan objektif untuk meningkatkan imuniti pekerja pelabuhan dan komuniti Pelabuhan Klang terhadap virus Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, program vaksinasi penggalak yang bermula pada 17 Disember lalu itu akan berlangsung selama lebih kurang dua bulan di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Kelang di Pelabuhan Klang.
Menurut beliau, program ini mempunyai kapasiti untuk pemberian 2,000 dos penggalak setiap hari.
Jelasnya, ia akan diperluaskan kepada komuniti Pelabuhan Klang sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Northport dan Westports bagi membolehkan masyarakat setempat mendapatkan dos penggalak mereka tanpa kos di bawah Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.
Azman menerangkan, program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 60,000 kakitangan pelabuhan dan masyarakat setempat.
“Rekod kami menunjukkan bahawa dua dos pertama vaksin telah membantu mengurangkan bilangan kes Covid-19 yang teruk (kategori 4 dan 5) dalam kalangan kakitangan dan pengguna pelabuhan kami,” ujarnya.