JAKARTA – Penyanyi dangdut terkenal Indonesia Lesti Kejora selamat melahirkan cahaya mata pertama iaitu bayi lelaki pada malam tadi secara pembedahan ketika kandunganya mencecah usia lapan bulan.
Menurut laporan media tempatan, Lesti terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan lebih awal daripada tarikh dia dijangka bersalin iaitu pada Januari atau Februari 2022 selepas penyanyi itu mengalami pendarahan gara-gara kepenatan.
Suaminya yang juga aktor sinetron terkenal, Rizky Billar, menjelaskan, dia telah dihubungi ibu mertuanya pada 23 Disember lalu dan dimaklumkan bahawa Lesti berada dalam keadaan lemah selepas berlaku pendarahan.
“Lesti dibawa ke hospital (Rumah Sakit Bunda) di Jakarta pada 24 Disember dan doktor memaklumkan bahawa isteri saya perlu berehat selepas mengalami pendarahan.
“Akhirnya, doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan ke atas Lesti (semalam) bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya,” ujar Rizky.
Pelantun lagu Kejora itu akhirnya selamat melahirkan bayi lelakinya dengan berat mencecah 2.2 kilogram walaupun dalam keadaan pramatang.
Disebabkan keadaan bayi yang masih lemah, doktor menyarankan supaya anak pasangan selebriti itu ditempatkan sementara di hospital untuk dipantau sehingga keadaannya benar-benar kuat.
Sementara itu, Rizky menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya menzahirkan kesyukuran selepas isterinya selamat melahirkan anak sulung mereka.
“Alhamdulillah telah lahir anak kami pada minggu malam tanggal 26 Disember 2021. Ini satu perkata yang tidak diguna sebelumnya kerana tiga hari sebelumnya, isteri saya hanya disuruh untuk berehat dihospital.
“Namun pada hari seterusnya, doktor menyarankan supaya isteri saya menjalani pembedahan selepas dia mengalami kesakitan untuk bersalin. Akhirnya isteri saya selamat bersalin melalui pembedahan ketika usia bayi 34 minggu,” katanya.
Pelakon sinetron Cinta Nikita itu juga menyifatkan saat tangisan bayinya memecah suasana ruangan bersalin sebagai peralihan sebuah fasa yang melengkapi kebahagian dalam rumah tangganya.
Sekadar info, Lesti dan Rizky sebelum ini pernah menuai rasa marah dalam kalangan peminatnya apabila bertindak menyembunyikan hari pernikahan sebenar mereka.
Seperti diketahui, kedua-dua mereka telah menjalani majlis akad nikah yang disaksikan secara langsung dalam televisyen pada 19 Ogos 2021. Namun ternyata, pernikahan tersebut diibaratkan seperti ‘lakonan semula’ memandangkan mereka sebenarnya telah menikah sejak awal tahun.
Rizky terpaksa membuat pendedahan tersebut selepas ditekan banyak pihak yang mendakwa isterinya kelihatan sedang hamil ketika majlis perkahwinan mereka sedang berlangsung. Perubahan fizikal seperti bentuk perutnya yang buncit seperti sedang hamil turut memaksa pasangan mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka. – K! ONLINE