JEREZ – Pengurus Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing, Wilco Zeelenberg membuat penilaian bahawa pelumba mudanya, Fabio Quartararo mempunyai bakat yang sama dengan juara dunia MotoGP lima kali, Jorge Lorenzo.
Pelumba berusia 21 tahun dari Perancis itu tampil cemerlang pada debut pertamanya dalam kelas perdana apabila berjaya meraih tujuh kali podium dan lima daripadanya menamatkan saingan di kedudukan kedua sekali gus muncul selaku pelumba rookie terbaik 2019.
Quartararo terus mempamerkan aksi terbaiknya pada musim 2020 apabila dia berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut di Jerez sekaligus berada di tangga teratas carta kedudukan pelumba setakat ini.
Bagaimanapun, dia hanya dipisahkan tiga mata dengan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso di tangga kedua.
Meskipun prestasinya dilihat hambar pada tiga perlumbaan terakhir, namun Quartararo dianggap salah seorang pelumba yang akan memberi tentangan hebat untuk memburu mahkota gelaran dunia tersebut.
Lorenzo sebelum ini memerlukan tempoh dua tahun sebelum berjaya meraih gelaran dunia sulungnya pada tahun 2010 yang ketika itu dia telahpun bersama pasukan pengeluar MotoGP.
“Anda tidak menyedari betapa lajunya Lorenzo ketika itu dan Quartararo juga mempunyai gaya tunggangan yang sama seperti Lorenzo.
“Lorenzo merupakan pelumba yang teliti dan menggunakan setiap aspek di litar untuk mendapatkan tunggangan terbaik bagi memperoleh catatan masa yang sempurna. Itulah yang dilakukan Quartararo di Jerez,” katanya.
Biarpun mempunyai gaya tunggangan yang sama, Zeelenberg menjelaskan perbezaan di antara Quartararo dan Lorenzo adalah dari segi karakter kerana pelumba muda itu lebih periang serta peramah berbanding Lorenzo yang pendiam dan perlukan masa bersendiri. – AGENSI