BIRMINGHAM – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel bengang dengan pengurusan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun menang 3-1 ke atas Aston Villa di Villa Park awal pagi semalam.
Pengendali dari Jerman itu melepaskan rasa tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak (FA) England yang belum meluluskan pertukaran lima pemain dalam setiap perlawanan.
Tuchel berpendapat, sudah tiba masanya untuk Liga Perdana kembali menggunakan pertukaran lima pemain kerana banyak pasukan yang dibelenggu masalah kecederaan dan Covid-19.
“Kami bimbang dengan keadaan pemain-pemain yang masih belum pulih daripada kecederaan. Kami biarkan Callum Hudson-Odoi bermain 90 minit walaupun baru pulih daripada Covid-19.
“Mateo Kovacic pula terpaksa bermain walaupun baru pulih daripada kecederaan dan Covid-19. Pertukaran lima pemain diperkenalkan semasa Covid-19 sebelum ini, jadi sudah tiba masanya ia digunakan semula,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Villa terlebih dahulu berada 1-0 di depan menerusi gol sendiri Reece James sebelum The Blues meledak tiga gol hasil dua gol Jorginho serta satu jaringan Romelu Lukaku.
“Selepas ini kami akan berdepan perlawanan yang penuh fizikal menentang Brighton sebelum bertemu Tottenham Hotspur. Saya harap kemenangan malam ini (semalam) mampu memberi suntikan motivasi kepada kami,” ujarnya.– AGENSI