KUALA PILAH- Seorang tukang kabinet dapur didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memperdayakan pelanggannya sehingga mengalami kerugian RM3,650 tahun lalu.
Sekiranya gagal menjelaskan, tertuduh, Muhammad Ezuwan Nordin, 31, bakal berhadapan hukuman penjara tujuh bulan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menipu Ramli Yunus, 32, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai akan melaksanakan pemasangan kabinet dapur di rumahnya.
Tertuduh dengan curangnya mendorong perlanggan menyerahkan kepada tertuduh wang berjumlah RM3,650 dimana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 19 Jun 2020 sehingga 2 Julai 2020 jam lebih kurang 11.26 pagi sehingga 10.49 malam bertempat di sebuah rumah di Taman Senimas, di sini.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh ketika diminta untuk membuat rayuan oleh Majistret Saiful Sayoti menyatakan dia sememangnya bekerja membuat kabinet dan baharu sahaja berkahwin serta menanggung isteri yang tidak bekerja, manakala, maknya pula sakit.
Malah, tertuduh juga menyatakan kerjanya itu bergantung dengan perlanggan sekiranya ada.
Majistret bagaimanapun menyoal tertuduh mengapa dalam kes berkenaan tertuduh tidak membuat kabinet.
Tertuduh menyatakan dia sememangnya membuat kabinet dan bukanlah dia tidak mahu membayar.
“Saya buat kabinet, saya bukan tak nak bayar, saya nak bayar… Dengan kerja tak ada…,” rayunya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi kemudiannya meminta Majistret memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Majistret kemudiannya menyatakan dalam menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh, mahkamah mendengar rayuan tertuduh dan juga hujah pemberat Timbalan Pendakwa Raya serta kepentingan awam. – K! ONLINE.