SHAH ALAM – Kegagalan sebuah syarikat kontraktor pembinaan melakukan penyeliaan semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan seorang pekerja maut, tiga tahun lalu membawa padah apabila didenda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Rofiah Mohamad menjatuhi hukumam itu selepas Hab Construction Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) didapati bersalah atas pertuduhan pindaan dihadapinya selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah pada peringkat akhir kes pembelaan.
Rofiah dalam penghakimannya menegaskan mahkamah mengakui kemalangan terbabit berpunca daripada keruntuhan struktur kren tersebut namun kegagalan penyeliaan di kawasan radius kren beroperasi perlu diambil kira.
“Faktor pengajaran perlu diambil kira sebagai mesej bukan sahaja kepada pihak OKS tetapi kepada pemain industri yang lain,” jelasnya.
Mahkamah turut menetapkan bayaran perlu dilakukan hari ini selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk memohon tempoh waktu bagi OKS menjelaskan denda atas alasan projek terbabit bernilai RM1.2 bilion.
Selain itu, kejadian berlaku pada fasa kelima yang bernilai RM490 juta.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Hab Construction sebagai majikan didakwa telah gagal untuk memastikan keselamatan kesihatan dan kebajikan semua pekerja dengan gagal mengadakan penyeliaan sebagaimana yang perlu semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan kemalangan pekerja ditimpa oleh struktur kren menara yang mengalami kegagalan struktur semasa bekerja.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tapak projek cadangan pembangunan bercampur untuk Tetuan City Centerpoint Sdn. Bhd. di Persiaran Multimedia, Seksyen 7, di sini pada pukul 10.30 pagi, 2 Januari 2018.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 19 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000. – K! ONLINE.