PETALING JAYA – Setiap keraian sempena perkahwinan pasangan popular Uqasha Senrose dan Kamal Adli pasti mendapat perhatian ramai pihak termasuk malam berinai bertemakan Bollywood yang berlangsung pada 15 Disember lalu.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan majlis tersebut, terselit kata-kata negatif netizen yang mempersoalkan keterujaan pengantin meniru budaya luar berbanding akar umbi sendiri.
Turut terkena tempias selepas memuat naik video tarian Uqasha dan Kamal pada majlis tersebut, pengarah dan penerbit popular, Michael Ang yang menyindir netizen agar tidak mempertikaikan cara hidup individu lain.
“Ini video versi panjang yang diminta oleh semua orang, berseoronoklah.
“Tidak perlu mengeluarkan sebarang kutukan berbaur perkauman. Lihat dan berseronoklah,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Michael Ang Hai Swee, 45, itu turut mempertikaikan segelintir netizen yang menganggap diri mereka sebagai individu alim tetapi masih aktif dalam media sosial.
“Tidak perlu nak minta satu dunia hidup seperti cara anda yang konon-kononnya sangat alim.
“Bukan semua orang mempunyai fikiran sempit seperti anda, Malaysia pun banyak gua, silalah ke sana. Jika alim sangat, kenapa perlu ada media sosial?” tuturnya lagi.
Menjengah dalam ruangan komen dalam sebuah hantaran Michael sebelum ini, terdapat segelintir netizen yang mempersoalkan mengapa budaya Bollywood yang diangkat dalam majlis masyarakat Melayu.
“Maafkan saya, kenapa mesti nak angkat budaya kaum lain?” soal seorang netizen.
“Bangsa Melayu, bangsa yang paling senang terima budaya orang,” komen seorang lagi pengguna Twitter.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha selamat mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup di Bentong, Pahang pada 5 November lalu.
Berita perkahwinan mereka hanya diumum sebulan kemudian dalam sbeuah majlis sidang akhbar pada 7 Disember lalu.
Kini, pasangan pengantin baharu itu sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah sebagai tanda kesyukuran selepas doa jodoh mereka dimakbulkan oleh Allah SWT. – K! ONLINE