SELAYANG – Gara-gara membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalan (IC) seorang juruwang sebuah pasaraya dipenjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Norhidayah Mohamad Amin, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula tarikh sabitan hari ini dan dipenjara tiga hari lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah memberikan maklumat secara lisan kepada pegawai polis, Jamarul Azuan Abdullah dalam bentuk laporan polis yang mana tertuduh mengetahuinya sebagai palsu.
Ia dengan maksud menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang untuk menyiasat beehubung dengan kejadian seperti yang dilaporkan.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Gombak di sini pukul 1.44 pagi pada 12 Disember lalu (2021) yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan laporan polis palsu itu dibuat kerana bimbang dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hasni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh itu telah menyusahkan banyak pihak terutama pegawai penyiasat yang menyiasat laporan polis yang dibuat tertuduh.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah membuat laporan polis bahawa kononnya dia telah disamun oleh dua lelaki bermotosikal sedangkan kejadian itu tidak wujud sehari sebelum laporan polis dibuat.
Hasil siasatan mendapati beg dompet tertuduh sebenarnya telah tercicir yang mana di dalam beg dompet itu terdapat pengenalan. Tertuduh mengakui membuat laporan polis palsu tersebut bagi mengelak dikenakan denda oleh JPN ketika membuat kad pengenalan baharu. – K! ONLINE