PUTRAJAYA – Ketika beberapa kawasan di sekitar Daerah Sepang, Selangor dilanda banjir, ada pihak tidak bertanggungjawab pula sengaja melakukan pembakaran secara terbuka.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan, pihaknya telah menerima aduan orang awam mengenai pembakaran sampah haram itu berdekatan Taman Keruing di Desa Damai Putra kelmarin.
Katanya, JAS cawangan Sepang menjalankan siasatan dan tindakan perundangan akan diambil terhadap pemilik kawasan tanah lapang yang sengaja melakukan pembakaran terbuka itu.
JAS memaklumkan, pemiliknya boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap longgokan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sekiranya didakwa di mahkamah dan didapati bersalah, si pelakunya boleh dihukum denda RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau pun kedua-duanya sekali kerana pembakaran terbuka adalah dilarang di atas tanah gambut dan radius 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya hari ini.
Kegiatan pembakaran haram itu juga mengakibatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara di stesen Banting, Johan Setia dan Klang hampir mencecah kadar 90 atau paras sederhana.
Orang awam yang ada maklumat mengenai kes pembakaran terbuka boleh melaporkannya kepada Bilik Operasi Ibu Pejabat JAS menerusi talian 03-88891972 atau 1-800-88-2727. – K! ONLINE.