PETALING JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tetap menggesa kerajaan agar tidak hanya mendengar pandangan Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz semata-mata dan mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeluarkan RM10,000 secara one off melalui i-Citra.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, dengan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terakhir ini, rakyat yang terjejas dapat memulihkan kenderaan mereka untuk bekerja serta membina kembali asas ekonomi yang baik.
“Saya faham KWSP ini ditubuhkan sebagai tabungan hari tua serta saya menyambut baik peruntukan RM10 juta yang diumumkan bagi tujuan bantuan dan pemulihan banjir besar yang sedang berlaku di beberapa negeri ketika ini.
“Namun, saya minta Kementerian Kewangan untuk memahami kesengsaraan ekonomi rakyat yang belum pulih akibat pandemik Covid-19.
“Pemuda UMNO memohon agar kerajaan tidak mendengar pandangan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul semata-mata tetapi turut selami rintihan rakyat yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Johan berkata, walaupun bantuan kewangan RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir dilihat melegakan sedikit bebanan, namun ia tidak dapat menampung jumlah kerugian yang dialami mereka yang terjejas.
“Contohnya, RM1,000 itu sudah tentu tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan barangan rumah yang musnah akibat banjir.
“Apatah lagi membaik pulih kenderaan mereka yang dianggar lebih RM4,000,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, gesaan ini bukanlah bersifat populis sebagaimana segilintir pihak mendakwa.
“Ia tercetus atas sifat realistik dan tradisi UMNO yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik,” ujarnya.-K! ONLINE.