ROM – Pengendali AS Roma, Jose Mourinho dilaporkan berminat untuk menggalas jawatan selaku pengurus skuad antarabangsa Nigeria bagi menghadapi saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bulan depan.
Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF), Amaju Pinnick yang menjelaskan pihaknya sedang dalam perbincangan untuk melantik pengurus baharu dalam tempoh terdekat.
Ia selepas NFF mengambil keputusan untuk memecat Gernot Rohr disebabkan prestasi buruk dipamerkan The Super Eagles apabila sekadar seri 1-1 dengan Cape Verde bulan lepas meskipun beliau sudah lima tahun menggalas jawatan itu.
“Kriteria utama pengurus baharu mestilah mementingkan aspek disiplin pada tahap tertinggi. Keduanya, beliau perlu sesorang yang amat dahagakan kejuaraan untuk memenangi trofi.
“Ada beberapa nama yang disebut dalam perbincangan jawatankuasa eksekutif antaranya Jose Peseiro sebelum calon terpilih akan diumumkan pada minggu depan.
“Selain itu, kami bersama menteri sukan (Nigeria) turut berbincang mengenai kemungkinan melantik Mourinho tetapi kami tidak boleh mendedahkan butiran lebih lanjut kepada anda semua,” kata Pinnick.
Masa depan Mourinho bersama Roma samar selepas beliau gagal memastikan pasukan itu berada dalam kelompok empat teratas sebelum berakhirnya saingan Serie A tahun ini.
Justeru, pengendali dari Portugal itu dilihat sebagai calon pilihan untuk mengemudi Nigeria yang akan bersaing dalam saingan Kumpulan D kempen AFCON bersama Mesir, Guinea-Bissau dan Sudan.
Sebagai rekod, kali terakhir Nigeria merangkul kejuaraan AFCON adalah sewaktu edisi 2013 di Afrika Selatan. – AGENSI