fbpx

‘Ombak tsunami setinggi pokok kelapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORNIE menunjukkan keratan akhbar kejadian tsunami di kediamannya di Jeti Nelayan Pulau Betong, Balik Pulau, di sini semalam.

BALIK PULAU – Walaupun telah 17 tahun berlalu, bencana tsunami yang melanda pada 2004 masih segar dalam ingatan penduduk kampung yang tinggal berdekatan Jeti Nelayan Pulau Betong di sini.

Kesemua mereka menyifatkan tanggal 26 Disember setiap tahun adalah detik ngeri dan mengharapkan tragedi berkenaan tidak berulang buat kali kedua.

Seorang penduduk, Nornie Ismail, 43, berkata, dia masih terbayang bunyi dentuman ombak besar sebelum menghempap kediaman mereka dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu.

Ceritanya, akibat ombak besar itu, dia bersama keluarga dan penduduk lain ‘berkampung’ dalam khemah di kaki bukit berhampiran hampir sebulan.

“Kalau boleh, memang kami tidak mahu mengingati semula detik paling mengerikan itu, malah kami mahu lupakan terus dari ingatan.

“Masih terbayang bunyi dentuman ombak yang sangat kuat setinggi pokok kelapa dan menghentam belakang dapur rumah. Saat itu, saya berlari menyelamatkan empat orang anak yang ketika itu berada di tepi pantai.

“Mujur mereka tidak dibawa ombak kerana berjaya melarikan diri dan bersembunyi di belakang pokok, di kawasan tinggi,” katanya yang turut melihat banyak mayat bergelimpangan akibat tragedi itu.

Ibu kepada empat cahaya itu memberitahu, dia juga masih terbayang keadaan rumahnya yang hanya tinggal tiang, manakala kereta Proton Iswara Aeroback dibawa ombak dan ‘tersangkut’ di kaki bukit berhampiran.

“Semua kediaman di sini musnah dan ditenggelami selut tebal. Tiada apa yang sempat diselamatkan termasuk peralatan persekolahan anak-anak.

“Kami berdoa dan berharap tragedi tsunami tidak berulang lagi. Biarlah itu yang terakhir,” ujarnya sebak.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya pula berkata, beliau sedaya upaya mahu melupakan tragedi tsunami yang nyaris mengorbankan dirinya yang ketika berada di Jeti Nelayan Sungai Burung.

“Sebagai wakil rakyat ketika itu, saya mengadakan lawatan di jeti nelayan yang dilaporkan musnah teruk akibat bencana tsunami.

“Semasa itu, air di kuala sungai kelihatan surut. Saya ke situ dengan membonceng motosikal. Dalam beberapa minit, saya terkejut melihat ombak besar kedua setinggi satu meter datang laju ke arah kami.

“Saya sempat berpaut pada sebatang tiang elektrik, jika tidak mungkin sudah dihanyutkan ombak. Separuh badan basah dan hilang kata-kata melihat kejadian yang menimpa,” jelasnya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI