MANCHESTER – Penganalisis bola sepak England, John Barnes menggesa Manchester United untuk melakukan segala-galanya bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong.
Menurutnya, pemain berkenaan adalah paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Paul Pogba yang hampir pasti meninggalkan pasukan ini selepas kontraknya berakhir hujung musim ini.
“Frenkie adalah pilihan yang bijak untuk United. Ketika Pogba bakal meninggalkan mereka, United perlu segera mendapatkan pengganti.
“Dia adalah seorang pemain muda yang berbakat dan berpeluang untuk menjadi tonggak penting pasukan itu. Dia memiliki kemampuan hebat dari segi hantaran, intensiti selain sikap yang baik. Dia adalah pemain yang United perlukan,” katanya.
De Jong mungkin boleh dibeli pada harga yang lebih murah ketika Barcelona terdesak untuk menjualnya, namun United perlu bertindak segera kerana Paris Saint-Germain dan Juventus turut menyatakan minat.
Dalam pada itu, Pengurus United, Ralf Rangnick juga turut merancang untuk mendapatkan pengganti kepada Nemanja Matic yang bakal mengakhiri kontraknya pada musim panas 2023.
Beliau berpendapat, pengganti kepada pemain tengah berpengaruh itu perlu didapatkan segera sebelum Matic mengakhiri kontrak di Old Trafford bagi tujuan menyesuaikan diri dan belajar sesuatu daripada pemain Serbia itu.
Dua pemain yang dikatakan menjadi pilihan Rangnick sebagai pemain tengah bertahan itu adalah Declan Rice dan Jude Bellingham, namun sedar untuk merealisasikan perpindahan itu pada Januari nanti adalah sangat sukar.
Bagaimanapun, beliau sedia bersabar untuk menyaksikan salah seorang pemain itu menyertai United pada musim panas nanti. – AGENSI