fbpx

Waspada elak jadi mangsa kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. YUNUS YAKKUB

 

Kata orang langit tidak selalu cerah dan hidup pula tidak selalu ceria.

Tragedi seperti kejadian kebakaran juga berlaku tanpa me­ngira masa, tempat dan mengenal usia mangsa.

Namun, cukup bersediakah kita dengan pengetahuan terutama aspek-aspek melepaskan diri daripada dijilat api menerusi latihan kebakaran yang sering dianggap remeh oleh segelintir masyarakat.

Hakikatnya, ramai dalam kalangan masyarakat menganggap latihan kebakaran itu sesuatu yang membebankan mereka kerana ia sekadar simulasi.

Bagaimanapun, seramai 136 pelajar perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Istana Bandar Kuala Langat, Selangor pada awal bulan lalu membuktikan latihan kebakaran itu bukan omongan kosong, sebaliknya ia telah menyelamatkan nyawa mereka.

Seorang pelajar yang ditemui penulis ketika membuat liputan kejadian itu, Fatima Zahra Aminudin, 17, memberitahu, latihan kebakaran yang dipelajari­nya berjaya menyelamatkan mereka daripada terkorban dalam kejadian tersebut.

“Nasib baik kami sering diberikan latihan kecemasan pada tahun lalu. Kami sudah tahu apa perlu dilakukan apabila berdepan situasi kebakaran sebenar,” ujarnya.

Bagi Penolong Pengarah Operasi Bomba Dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd. Noor memberitahu, latihan kebakaran amat bermanfaat terutama ketika waktu tidur.

Kata beliau, masyarakat harus memahami dan mengenal laluan kecemasan walaupun berada di rumah sendiri.

“Kita harus meletakkan kunci pendua bilik utama atau jeriji di sebelah katil bagi memudahkan pergerakan keluar terutama mereka yang mendiami rumah dua tingkat.

“Elakkan juga meletakkan sebarang benda di laluan utama sekiranya berlaku kecemasan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Selain itu, pintu-pintu api harus diletakkan pada mod auto release apabila berlaku sesuatu kebakaran.

Hafisham memberitahu, ke­perluan latihan kebakaran adalah bergantung kepada sesete­ngah komuniti atau Ahli Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) ke­rana pihaknya tidak menetapkan julat latihan kebakaran dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, ujarnya, ERT sekurang-kurangnya perlu me­lakukan sebulan sekali latihan kecemasan bagi memantapkan diri dalam menyelamatkan diri apabila menghadapi situasi getir terutama semasa berlaku kebakaran.

“Keselamatan diri akan lebih terjamin dan berkesan sekiranya dijadikan amalan oleh setiap individu.

“Sikap tidak peduli atau tidak apa hanya akan menggugat dan memberikan ancaman kepada keselamatan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, tempoh masa untuk menyelamatkan diri adalah dua minit dari ruangan kebakaran ke arah pintu api atau tangga jika di dalam bangunan.

“Kalau terlebih masa, dibimbangi akan sesak nafas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI