PARIS – Atlet berbasikal trek Belanda, Amy Pieters terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan di kepala sejurus terlibat dalam kemalangan pada sesi latihan di Calpe, Sepanyol pada Khamis lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pasukannya, SD Worx memberitahu bahawa juara dunia tiga kali itu masih tidak sedarkan diri tetapi kini telah selesai menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.
“Amy Pieters telah menjalani pembedahan di kepalanya pada Jumaat lalu. Semasa pembedahan, doktor telah menerangkan pihaknya cuba menghilangkan tekanan di bahagian kepalanya akibat insiden tersebut.
“Ketika ini, pihak hospital juga telah menjelaskan bahawa Pieters terpaksa ditidurkan buat sementara waktu. Selepas itu, kemungkinan doktor akan membuat penilaian mengenai kemungkinan kecederaan susulan yang akan dihadapinya.
“Pihak keluarga Pieters juga telah berada di hospital. Jadi, kami berharap Pieters akan segera pulih secepat mungkin dan kembali berada di atas trek bersama pasukan,” menurut kenyataan rasmi SD Worx.
Sebagai rekod, Pieters merupakan pelumba berbasikal terbaik dunia terutama bagi acara madison sehingga berjaya meraih tiga gelaran dunia.
Atlet berusia 30 tahun itu juga memenangi gelaran dunia Madison tiga tahun lepas bersama rakan senegara, Kirsten Wild selain turut dinobatkan sebagai juara perlumbaan jalan raya Eropah pada 2019. – AGENSI