BAGAIMANA nasib kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak? Itu antara persoalan bermain di minda penulis selepas membaca komen dilontarkan orang ramai di beberapa platform media sosial sejak kebelakangan ini.
Persoalan itu timbul tatkala melihat reaksi orang awam yang disifatkan kurang senang dengan prestasi ditampilkan kerajaan khususnya ketika mengendalikan situasi banjir di beberapa negeri minggu lalu.
Malah, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus turut berpendapat bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disifatkan lebih cekap dalam menguruskan krisis sedemikian seperti dihadapi negara ketika ini.
“Saya berpendapat kerajaan belum ada cukup pengalaman urus bencana. Saya lihat NGO jauh lebih cekap terutamanya isu banjir kerana mereka ada pengalaman di Aceh dan negeri di Pantai Timur,” katanya.
Situasi itu bukan sahaja dilihat memberi persepsi kurang baik terhadap kepimpinan Ismail Sabri, malah mungkin menterjemahkan tahap sokongan pengundi kepada kerajaan pada PRU nanti.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu memastikan hubungan antara rakyat dan pemerintah berada pada tahap terbaik sekali gus tidak menimbulkan sebarang isu terutamanya melibatkan kekecewaan orang ramai.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, kerajaan perlu bersikap lebih sensitif dengan apa yang terjadi dalam masyarakat bagi memastikan hubungan kedua-dua pihak kekal harmoni.
“Kita ambil contoh kejadian banjir baru-baru ini, kerajaan perlu lebih sensitif dalam menguruskan isu itu bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Jadi, antara yang perlu diberi perhatian segera termasuklah aspek koordinasi pengurusan banjir memandangkan masih ada mangsa yang tidak menerima bantuan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, kerajaan juga perlu bertindak lebih pantas bagi menjalinkan kerjasama bersama pihak swasta seterusnya berpadu tenaga menyediakan bantuan asas kepada rakyat.
“Kalau kita lihat, banyak mangsa banjir kehilangan harta benda dan bantuan barangan keperluan asas seperti barangan elektrik antara boleh disalurkan kerajaan serta pihak swasta.
“Selain itu, proses permohonan bantuan oleh rakyat juga perlu dipermudahkan tanpa unsur birokrasi yang dilihat menyukarkan lagi keadaan mangsa,” jelasnya.
Katanya, kerajaan perlu segera melaksanakan perkara itu dalam meraih semula kepercayaan rakyat seterusnya memberi sokongan berterusan kepada pimpinan Ismail Sabri.
Kerajaan masih mempunyai ruang untuk menabur bakti kepada rakyat sebelum PRU-15 diadakan selain memperbaiki segala kelemahan khususnya ketika mengendalikan isu banjir.
Pastinya, jika kerajaan dapat mengendalikan isu terbabit secara menyeluruh, rakyat akan berterima kasih dan menterjemahkan rasa itu kepada bentuk sokongan ketika PRU-15. -K! ONLINE