fbpx

Jangan ‘menangguk’ ketika mangsa bah sedang berduka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MINGGU lalu, Lembah Klang digemparkan dengan banjir buruk secara mengejut. Kejadian bah yang tidak terduga itu menyebabkan ribuan mangsa bencana alam itu menjadi kelam-kabut.

Banyak pihak bagaikan tidak percaya air boleh naik secara mendadak dengan begitu cepat.

Kerana itu ramai daripada penduduk tidak lari menyelamatkan diri walaupun menyedari berlaku bah pada peringkat awalnya. Begitulah juga halnya dengan pihak berkuasa serta pasukan penyelamat. Masing-masing tidak menyangka air akan naik sehingga ke paras bumbung dalam tempoh yang singkat.

Ketika itu, Shah Alam hampir tenggelam keseluruhannya, Hulu Langat bagai dilanda tsunami. Paling mendukacitakan, banyak nyawa yang terkorban. Harta benda yang musnah tak usah cerita.

Rumah kediaman, kenderaan, perabot, peralatan elektrik sehinggalah kepada dokumen penting, semuanya hanyut.

Bagaimanapun, di sebalik kisah duka mangsa-mangsa banjir ini yang kehilangan ahli keluarga dan harta benda, ada juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagai cuba menangguk di air keruh. Dalam diam, mereka buat ‘cerita’ yang pastinya menambahkan lagi sengsara mangsa-mangsa bah.

Khabarnya, golongan pencuri mula bergerak aktif ke kawasan-kawasan banjir untuk ‘mengintai’ kenderaan-kenderaan serta barang-barang berharga lain milik mangsa banjir untuk ‘diangkut’.

Mereka ini dikatakan licik melakukan perbuatan kotor dengan pelbagai helah untuk masuk ke kawasan bencana dan mencuri harta benda yang bernilai. Ada yang siap bawa lori tunda kononnya daripada pihak insurans untuk ‘mengangkut’ kereta-kereta yang tersadai.

Selain kereta, pelbagai barangan berharga lain seperti rim kereta, tayar kenderaan, motosikal serta barang-barang lain milik penduduk terjejas bah turut menjadi sasaran pencuri. Malah, ada dalam kalangan penjenayah ini bertindak menceroboh premis-premis perniagaan yang ditenggelami banjir dengan mencuri pelbagai barangan yang terdapat di dalamnya.

Selain kegiatan mencuri itu, ada pula pihak-pihak lain yang bertindak mengutip derma atau bantuan daripada orang ramai kononnya untuk membantu mangsa-mangsa banjir, tetapi mereka ‘songlapkan’ wang kutipan tersebut untuk kegunaan peribadi.

Inilah antara perangai buruk yang ada dalam masyarakat kita hari ini. Musibah banjir yang sepatutnya dilihat sebagai salah satu bentuk peringatan daripada Tuhan kepada kita semua, bagai langsung tidak berbekas di jiwa mereka.

Apa-apa pun, musibah yang berlaku ini seharusnya membuka mata semua. Kepada pihak berkuasa, sistem amaran awal banjir perlu diperkemas dan dipertingkatkan supaya orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan risiko bah dapat keluar dengan segera dari kawasan mereka ketika kecemasan.

Kepada orang ramai pula, selepas ini, janganlah ambil mudah apabila melihat air mula naik di kawasan rumah dan kalau boleh segeralah bawa keluarga keluar mencari tempat yang selamat.

Tindakan pantas kita mungkin akan menyelamatkan nyawa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI