LONDON – Seorang wanita yang sepatutnya keluar janji temu dengan seorang lelaki yang dikenalinya menerusi aplikasi pacaran, bertindak membatalkan pertemuan mereka selepas membuat carian berkenaan calon teman lelakinya itu di laman carian Google, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Shaina Kay Cardwell menerusi akaun TikTok @shainakaycardwell mendedahkan, selepas mencari nama lelaki tersebut di internet, dia mendapati si lelaki sebelum ini pernah ditahan atas tuduhan menculik.
Cardwell kemudian segera membatalkan pertemuannya dengan lelaki itu.
“Saya mahu keluar janji temu dengan seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi Hinge dan mendapati dia pernah ditahan kerana menculik,” katanya.
Video tersebut mendapat lebih 300,000 tontonan dengan pengguna TikTok meninggalkan pelbagai komen berkenaan kisah ‘menyeramkan’ yang dialami mereka.
“Seorang lelaki pernah merayu kepada saya untuk keluar bersamanya. Selepas saya ‘google’ namanya, saya dapati dia pernah ditahan kerana menyerang seorang pekerja syarikat kurier di rumahnya,” kata seorang netizen.
“Saya pernah bertanya kepada seorang lelaki, apa akan berlaku sekiranya saya mencarinya di Google. Dia menjawab saya tidak akan menyukai apa yang saya temui. Dia terlibat dalam serangan seksual,” komen netizen lain. – AGENSI