Permohonan untuk mendapatkan kerja ada kalanya perlu disertakan dengan surat sokongan. Kadangkala ia tidak cukup dengan sekadar menghantar resume dan angan-angan.
Baru-baru ini kecoh mengenai surat sokongan dan anak orang kenamaan. Habis kecoh satu negara walaupun ada dalam kalangan kita tidak begitu faham dengan isu dan duduk letak keadaan.
Surat sokongan adalah benda biasa. Yang jadi luar biasa apabila ia sengaja diperbesar-besarkan lebih-lebih lagi melibatkan mereka yang dikatakan mempunyai kepentingan menggapai kuasa.
Bagi mereka yang memerlukan, surat sokongan wajib disertakan agar keinginan dapat disempurnakan. Hanya yang pernah mengalaminya sahaja dapat merasakan.
Ada satu cerita yang ingin penulis bawakan kali ini. Hal ini berkaitan dengan surat sokongan mendapatkan bantuan yang diluluskan pemintaannya dalam tempoh yang singkat sekali.
Ada seorang rakan berkongsikan masalah keluarga. Seorang ahlinya telah ditimpa musibah dan memerlukan beberapa peralatan untuk memudahkan menjaganya di rumah.
Namun, apa yang memeningkan kepala rakan tadi ialah, di mana dia hendak mencari duit bagi membeli itu semua.
Kebanyakan adik-beradik sudah kehabisan lantaran kehilangan kerja atau separuh gajinya telah dipotong majikan. Bermula dari musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hinggalah kepada PKP Pemulihan betul-betul menguji kehidupan, kata rakan.
Ada kajian yang dilakukan mendapati hampir 1.9 juta orang di negara ini bakal kehilangan kerja menjelang hujung tahun ini dan ia sesuatu yang patut kita bimbangkan.
Hendak membantu dia pun berapa sangat yang boleh kita hulurkan. Saya lantas memberikan pendapat kepadanya mengapa tidak dicuba memohon bantuan kepada Yang Berhormat (YB) kita punya kawasan.
Dipendekkan cerita surat sokongan pun dihantar dengan penuh harapan. Ayat disusun dengan penuh tertib mendoakan kepada YB dikurniakan nikmat kesihatan berpanjangan diletakkan pada ayat permulaan.
Alangkah cerianya hidup apabila menerima jawapan. Dalam tempoh seminggu permohonan pun diluluskan dan saya sungguh gembira dapat membantu kawan.
Tidak henti-henti dia mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada mereka yang bermurah hati.
Inilah nilai kemanusiaan yang dapat dinilai buat orang kampung seperti kawan tadi. Walaupun nilainya tidaklah sebesar mana, namun keyakinan terhadap YB membalas budinya adalah perkara yang dinanti-nanti.
Dia bukanlah orang kenamaan, namun sikap YB yang tidak pilih bulu dan sedia berkhidmat kepada sesiapa sahaja lantas membuatkan kawan tadi terharu.
Sebenarnya keperluan mendapatkan surat sokongan agak signifikan kalau kena pada tempatnya dan tidak dibuat untuk kepentingan diri dan menindas orang lain.
Walau apapun, ini hanyalah secebis daripada kisah-kisah marhaen di bumi bertuah ini, namun ia memberikan banyak pengajaran jika kita teliti.
Berbuat baiklah kepada insan, kerana apa yang kita peroleh kelak akan berbalik kepada kita juga, kan?