MOSCOW – Sebuah mahkamah Rusia mengenakan denda hampir AS$100 juta(RM419.5 juta) ke atas Google dan kira-kira AS$30 juta (RM125.8 juta) terhadap syarikat induk Facebook, Meta kerana gagal memadamkan kandungan yang diharamkan oleh Moscow, lapor agensi berita United International Press kelmarin.
Mahkamah Daerah Taganasky itu mendenda Google sebanyak AS$97,776,000(RM410.1 juta) dan mengenakan penalti berjumlah AS$27,150,000 (RM113.8 juta) terhadap Meta selepas Rusia meningkatkan usaha mengawal kandungan online sejak setahun lalu.
Denda itu adalah berdasarkan peratusan pendapatan kedua-dua syarikat itu di Rusia sejak setahun lalu. Denda ke atas Google itu dipercayai yang terbesar seumpamanya setakat ini.
Kedua-dua firma berpangkalan di Amerika Syarikat itu diberi masa 10 hari untuk membuat rayuan.
Perkembangan itu berlaku selepas Rusia meningkatkan tekanan terhadap Google supaya memadamkan kandungan yang mempunyai kaitan dengan pemimpin pembangkang, Alexei Navalny.
Makkamah Rayuan Arbitrasi Kesembilan Rusia memutuskan pada bulan ini bahawa Google akan didenda sebanyak AS$13.5 juta (RM56.6 juta) sekiranya ia tidak membatalkan keputusan untuk menyekat akaun YouTube saluran televisyen Rusia, Tsargrad. Keputusan itu mengekalkan perintah mahkamah lebih rendah supaya saluran televisyen tersebut dikekalkan.
YouTube menyekat Saluran Televisyen Tsargrad pada 28 Julai 2020, manakala Google kemudian menjelaskan bahawa pengasas Tsargrad, Konstantin Malofeev diletakkan di bawah senarai sekatan Amerika Syarikat.
Beliau dikenakan sekatan berkaitan penglibatan Rusia dalam konflik di Ukraine. – AFP