BUENOS AIRES – Seorang lelaki di Argentina yang menjalani 30 pembedahan plastik untuk kelihatan seperti penyanyi popular, Ricky Martin mengakui dia mempunyai ketagihan pada pembedahan plastik, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Francisco Mariano Javier Ibanez dari Benavidez, Buenos Aires sebelum ini mendakwa, dia tidak mempunyai masalah ketagihan pada pembedahan plastik, sebaliknya ketagih terhadap ‘perasaan bagus selepas selesai menjalani pembedahan itu’.
Bagaimanapun, dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Argentina, Cronica HD, lelaki yang mirip dengan Ricky Martin itu berkata, buat pertama kalinya, dia mengalami ketagihan dalam hidup.
“Saya fikir, dalam satu fasa kehidupan anda, masalah ketagihan akan berkembang sebelum ia menjadi lebih teruk.
“Apabila saya menjalani pembedahan, saya tahu ia adalah sesuatu yang sukar dan tidak sihat untuk saya,” katanya.
Ibanez yang membelanjakan wang sebanyak £7,290 (RM40,941) untuk prosedur kosmetik berkata, keinginannya untuk kelihatan seperti Ricky Martin bermula sejak dahulu lagi, apabila orang ramai menyatakan bahawa terdapat persamaan antara dia dan penyanyi kelahiran Puerto Rico itu.
“Ia bermula sejak dahulu apabila orang ramai mula memberitahu wajah saya mirip penyanyi itu.
“Pada mulanya, saya menganggapnya sebagai satu gurauan, namun saya mula melakukan beberapa perubahan dan persamaan itu semakin ketara,” katanya.
Dia juga mendedahkan mula menjalani pembedahan plastik selepas menderita obesiti pada usia 12 tahun.
Ibanez berkata, makan berlebihan adalah mekanisme pertahanannya terhadap sikap ganas bapanya. – AGENSI