JELEBU – Lebih 700 daripada kira-kira 1,000 buah menara telekomunikasi yang terjejas banjir sehingga mengalami kerosakan dan gangguan kepada liputan telekomunikasi telahpun dibaik pulih.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, baki menara telekomunikasi yang lain pula dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari lagi untuk dibaik pulih disebabkan beberapa faktor.
Menurutnya, faktor tersebut termasuklah jalan perhubungan terputus ke menara tersebut, tiada bekalan elektrik selain kerosakan infrastruktur yang menyebabkan kabel fiber optik yang terputus.
“Tiga isu yang utama, iaitu jalan perhubungan yang terputus, kita nak pergi ke menara itu tidak dapat. Kemudian walaupun menara tersebut telah dibaiki namun elektrik tidak ada kerana belum dipasang oleh pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan menyebabkan menara pemancar tidak dapat berfungsi.
“Ketiga, infrastruktur yang rosak telah sebabkan kita punya fiber optik terputus, itu mengambil masa minimum 10 hari, untuk kita tempah, pasang balik serta mengesan kawasan yang mana, selagi air tidak surut tidak boleh kesan di mana yang putus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan barangan bantuan kepada mangsa banjir di Balai Raya Kampung Chennah, Titi, di sini hari ini.
Annuar berkata, daripada 1,000 buah menara telekomunikasi yang terjejas tersebut, 560 buah adalah di Pahang manakala 68 buah berada di Negeri Sembilan.-K! ONLINE.