HULU LANGAT – Kerajaan telah mengarahkan beberapa anggota kabinet yang bercuti untuk pulang bagi membantu menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu dikeluarkan supaya fokus dapat diberikan kepada penduduk yang terjejas.
Dalam pada itu, Ismail menyatakan beliau yang juga berhasrat untuk bercuti telah membatalkan niatnya itu.
“Saya pun ada rancangan nak ke luar negara untuk tunaikan umrah pada 1 Januari tetapi saya sudah batalkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya lagi, menteri yang sudah balik dari luar negara perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu.
“Kita tidak benarkan mereka untuk keluar dan setiap pergerakan perlu ikut prosedur operasi standard,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.-K! ONLINE.