JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesan dua kes Omicron dalam kalangan jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di negeri ini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kedua-dua kes tersebut merupakan pasangan suami isteri yang menunaikan umrah pada 4 Disember lalu.
Katanya, pasangan terbabit pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lalu.
“Ujian Saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA yang dijalankan telah dikesan positif pada 18 Disember lalu. Kini kedua-dua mereka sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru.
“Kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga telah dikenal pasti dan telah diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, terdapat pertambahan sebanyak 49 kes baharu Omicron di Malaysia.
Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institue Of Medical Research (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.
Susulan perkembangan terbaharu ini, beliau berkata, JKNJ ingin mengingatkan agar semua rakyat Johor yang pulang dari luar negara khususnya dari umrah, untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan.-K! ONLINE.