fbpx

KPM sedia kaji semula pembukaan sekolah sesi 2021/2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi (depan) menghadiri Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di Presint 18, pagi tadi.

PUTRAJAYA – Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 9 dan 10 Januari 2022 mungkin akan ditangguhkan lagi bergantung kepada keadaan sekolah yang masih belum bersedia digunakan ekoran kerosakan teruk akibat banjir.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementeriannya bagaimanapun akan meneliti keperluan tersebut sekiranya terdapat mana-mana sekolah yang memerlukan tempoh penangguhan bagi sesi penggal ketiga 2021/2022 itu.

Radzi berkata, beliau telah mengadakan lawatan ke sekolah di Seri Muda, Shah Alam dan Putra Height yang terjejas teruk dan mendapati bahagian bawah sekolah yang dinaiki air turut mengalami kerosakan pada infrastruktur seperti perabot, komputer dan buku teks.

“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuat keputusan agar perkara ini diberi perhatian segera agar dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum sesi persekolahan dibuka.

“Kita harap pihak sekolah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memperincikan keperluan persekolahan yang rosak bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di Dewan Presint 18/R, di sini hari ini.

Program anjuran Perikatan Nasional (PN) Putrajaya itu telah disertai oleh 100 kanak-kanak dari sekitar kawasan ini.

Untuk rekod, sebelum ini KPM menetapkan sesi penggal ketiga akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B,namun ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Ekoran itu, sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari 2022 manakala Kumpulan B pula pada 10 Januari 2022 yang juga akan dilaksanakan secara penggiliran.

“Kementerian akan mengumumkan dalam masa terdekat kelas mana yang perlu digilirkan dan secara umumnya akan masih ada sistem penggiliran sesi persekolahan bagi memastikan ia berlangsung secara teratur dan selamat,” ujar beliau.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI