SHAH ALAM – Prihatin mengenai kepentingan beribadah membuatkan Pasukan Polis Marin (PPM) melaksanakan program jiwa murni membersihkan masjid Al-Falah, Seksyen 24 Taman Sri Muda, hari ini.
Turut dikemaskan adalah madrasah Tahfizul Quran di lokaliti sama dengan Taman Sri Muda adalah antara kawasan terjejas teruk akibat banjir sejak minggu lalu.
Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, program tersebut melibatkan 26 pegawai dan anggota dari PPM Pelabuhan Klang menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir secara amnya.
Katanya, menerusi bantuan tenaga itu bagi meringankan beban kerja-kerja pembersihan kepada ahli jawatankuasa kerja (AJK) masjid dan madrasah tersebut yang mana kediaman mereka turut terjejas.
“Kita terpanggil untuk sama-sama membantu dengan memfokuskan kepada pembersihan dan membaikpulih dua bangunan itu termasuk masjid.
“Justeru, AJK masjid dan madrasah boleh memfokuskan kepada pembersihan rumah masing-masing,” jelasnya. -K!ONLINE