PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian secara percuma bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), atau Sijil Pemilikan Sementara (VOC) khususnya bagi mangsa terbabit bencana banjir di seluruh negara.
JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pemilik-pemilik dokumen perlu hadir sendiri dengan mengemukakan dokumen asal yang telah rosak di mana-mana kaunter pejabat JPJ bagi mendapatkan salinan gantian yang baharu.
Menurutnya, bagi dokumen yang telah musnah atau hilang, pemilik hendaklah mengemukakan salinan Laporan Polis atau Borang Pendaftaran Mangsa Bencana (Pejabat Daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat).
“Salinan berkenaan perlu dikemukan sebagai bukti kehilangan bagi mendapatkan dokumen gantian yang baharu.
“Kami amat prihatin terhadap situasi musibah banjir yang berlaku di beberapa kawasan dan negeri di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, JPJ juga memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian, yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, sehingga bencana ini terkawal sepenuhnya.
“JPJ di seluruh negara telah, sedang dan akan berada dalam bersiap siaga di dalam menghulurkan apa-apa juga bentuk bantuan, sama ada dalam bentuk tenaga manusia ataupun seumpamanya dalam mengatur-gerak aset-aset JPJ di lapangan,” katanya. – K! ONLINE