PETALING JAYA – Jalan utama di Hulu Langat sesak dengan kenderaan yang ingin masuk bagi memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.
Menerusi satu ciapan di laman Twitter Astro Radio Traffic mengatakan terdapat jangkaan kelewatan selama satu jam di antara Dusun Tua (Batu 14) dan Batu 9.
“Keadaan itu juga telah menyebabkan kesesakan dari arah bertentangan selama 40 minit.
“Ia juga telah memberi kesan kelewatan di jalan alternatif Ampang dan dari arah Sungai Tekali selama lebih setengah jam,” katanya.
Melalui hantaran tersebut, dapat dilihat beberapa petugas sudah berada di lokasi bagi mengawal kenderaan masuk dan keluar.
Difahamkan, kesesakan itu berlaku di laluan utama menuju ke lokasi bencana yang turut digunakan oleh pengguna biasa.
Dipercayai, ia susulan orang ramai dan pelbagai pertubuhan mengambil kesempatan hari cuti umum untuk turun membantu.
Sementara itu, seorang pengguna laman sosial @ImanDanial turut meminta orang ramai supaya menghantar bantuan di pusat-pusat agihan yang terdapat di luar bagi mengurangkan kesesakan.
“Jalan masuk Hulu Langat memang sangat sesak, kalau nak hantar bantuan, hantar terus ke Pusat Balai Raya Sg. Serai,” ciapnya.-K!ONLINE