SHAH ALAM – Seramai 391 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditambah dan digerakkan sebagai usaha membantu kerja-kerja pembersihan di rumah ibadat dan sekolah yang terjejas menerusi Ops Murni di Taman Sri Muda dan Kg. Bukit Lanchong di sini hari ini.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, sebelum ini seramai 109 anggota digerakkan untuk menjalankan operasi ini dan penambahan hari ini menjadikan jumlah menjadi 500 anggota tertumpu fasiliti awam yang terjejas teruk.
“Untuk di kawasan Taman Sri Muda dan Kg Bukit Lanchong, kita dalam proses bantuan pasca banjir. Jika sebelum ini seramai 109 keanggotaan yang kita aturgerakkan.
“Hari ini ATM buat penambahan menjadikan 500 anggota untk membantu kerja-kerja pembersihan di fasiliti awam yang terjejas teruk seperti rumah ibadat dan sekolah.
“Aset terlibat, kita aturgerakkan adalah Back Hoe dan Tipper serta aset tambahan lain yang sesuai dan kita selaraskan kerja-kerja ini dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Sri Muda Seksyen 25 di sini hari ini.
Tambah beliau, sebuah kompeni (pasukan) yang terdiri daripada lima pegawai dan 97 anggota ATM turut diletakkan dalam kesiapsiagaan di setiap negeri yang terjejas dan akan digerakkan mengikut keperluan tambahan.
Selain itu, beliau menegaskan ATM sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan dengan kesepaduan bersama agensi yang terlibat.
“ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa dalam menyelamatkan mangsa banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat,” ujarnya.– K! ONLINE