PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Bahagian Pelesenan Memandu menerima laporan berkaitan pengiklanan mendapatkan lesen memandu secara tidak sah di media sosial.
JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, menerusi iklan itu, individu berkenaan mendakwa menjadi agen tempatan untuk membantu urusan mendapatkan lesen memandu tanpa perlu ke JPJ dan hanya memerlukan permit kerja (bagi warga asing).
Menurutnya, jabatan ini telah cuba menghubungi individu berkenaan namun, gagal dan mendapati akaun media sosial yang didaftarkan adalah sebagai akaun Syarikat Vehicle Motor Company.
“JPJ memandang serius terhadap berita palsu yang tular tersebut dan siasatan sedang dijalankan termasuk membuat laporan polis, ” katanya.
Dalam hal ini, katanya, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih. – K! ONLINE