fbpx

Lebih 5,000 KIR terima bantuan Program Food Bank Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program Food Bank Malaysia adalah program kesukarelawan yang dikendalikan oleh kementerian.

PUTRAJAYA – Lebih 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima bantuan bakul makanan menerusi Program Food Bank Malaysia khusus untuk mangsa-mangsa banjir sejak 19 Disember lalu.

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamshuzaman Sulaiman berkata, sumbangan bakul makanan itu akan diteruskan selagi ia diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir.

“Sejak bencana banjir ini berlaku, kita telah membantu mangsa-mangsa tanpa mengira kawasan. Bakul-bakul makanan telahpun kita salurkan di negeri-negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur selain kawasan banjir di Lembah Klang.

“Jika kita ada 1,000 bakul makanan dalam simpanan, maka 1,000 itu yang akan diberikan di kawasan-kawasan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau berkata, Program Food Bank Malaysia juga berjalan serentak dengan Program Foodbank Siswa yang dilaksanakan terus—menerus di 27 institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.

Dalam pada itu, Shamshuzaman berkata, isu viral melibatkan Program Food Bank Malaysia baru-baru ini tidak mematahkan semangat mereka, namun menjadi pembakar semangat untuk pihaknya terus membantu golongan memerlukan.

KPDNHEP dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, Program Food Bank Malaysia adalah program kesukarelawan yang dikendalikan oleh kementerian dan bukannya program bantuan makanan rasmi kerajaan.

Jelasnya, tiada peruntukan kerajaan terlibat dalam program itu sebaliknya ia berkonsepkan pengumpulan barangan makanan dan keperluan daripada penyumbang seperti pasaraya, pengilang, pengusaha makanan serta syarikat korporat.

Bagi menjelaskan isu video tular itu, kementerian menjelaskan bahawa kotak disediakan berkenaan adalah pek individu yang dihasratkan untuk kegunaan segera individu yang dilanda musibah.

“Barangan yang disumbangkan di dalam kotak tersebut terdiri daripada makanan kering (ready to eat) dan keperluan diri.

“Malah, barangan lain turut disediakan di luar kotak seperti beras, gula, tepung, lampin pakai buang bagi bayi dan orang dewasa berserta tuala wanita,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI