fbpx

Satu kes varian Omicron dikesan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Satu lagi kes Covid-19 varian Omicron yang berkemungkinan jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak semalam, melibatkan lelaki warganegara China berusia 38 tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes tersebut bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun serta menjalani ujian Covid-19 pada 18 Disember kerana mengalami demam dan batuk sejak 13 Disember.

“Keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Disember.

“Sampel kes telah dihantar ke IHCM (Institute of Health and Community Medicine), UNIMAS untuk ujian genomic sequencing dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Disember,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ujarnya, kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun dan punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

“Kes juga telah lengkap vaksinasi dan keadaannya stabil. Seramai dua kontak telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial.

“Kedua-dua kontak ini telah diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI