KLANG – Hasrat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menabur bakti kepada masjid dan pusat tahfiz di Jalan Kapar di sini tertangguh apabila karpet yang ingin dibeli untuk digantikan dengan yang rosak habis di pasaran.
Seorang aktivis NGO Maulid Ad. Dibaei, Ahmad Ridzwan Yahya berkata, pihaknya tidak menemui karpet di semua kedai di sekitar daerah ini kerana ia habis ditempah termasuk dari Jengka, Pahang.
“Dua hari ini saya dan beberapa ahli NGO bersama ahli kariah giat membersihkan masjid dan pusat tahfiz. Permaidani yang rosak perlu diganti.
“Kita reda dengan apa yang berlaku dan berniat untuk memulihkan kembali peralatan tetapi permaidani habis dan kita kena tunggu stok baharu. Pembekal memaklumkan stok ada dalam minggu depan,” katanya ketika ditemui di Pusat Tahfiz Baitul Al Quran Aishah Humairah Batu 12, Jalan Kapar di sini semalam.
Terdahulu, banjir besar sejak Jumaat minggu lalu menyebabkan kawasan Meru, Kapar di sini ditenggelami air lebih dua meter.
Setelah banjir surut kawasan Kapar turut terjejas menyebabkan kelengkapan dan alat pembelajaran dan pengajaran di pusat tersebut musnah.
Ahmad Ridzwan berkata, para pelajar diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara berhampiran.
“Buat masa ini kita tunggu sehingga kelengkapan seperti permaidani dan lain-lain sampai untuk disalurkan kepada masjid dan pusat tahfiz ini.
“Ujian banjir ini mengajar kita untuk bersatu dalam bantu-membantu. Apa yang pihak kami lakukan bagi memastikan institusi masjid dan pusat tahfiz terus subur dan diimarahkan,” katanya. -K! ONLINE