PUTRAJAYA – Semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan dan agensi kerajaan diarahkan untuk membatalkan cuti masing-masing berkuat kuasa serta merta.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan anggota Kabinet dan semua menteri yang sedang bercuti di luar negara untuk pulang segera.
“Ini bagi membolehkan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga dalam memastikan kesiapsiagaan seluruh jentera kerajaan untuk mengharungi keadaan semasa negara demi Keluarga Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mahu kesemua ahli Kabinet sentiasa bersama rakyat yang sedang menghadapi bencana banjir pada waktu ini.
“Saya telah mengarahkan semua menteri yang merancang percutian masing-masing untuk membatalkan percutian mereka dan mereka yang berada di luar negara yang boleh balik, balik segera.
“Ini adalah supaya kita boleh bersama rakyat yang sedang kesusahan ketika ini,” katanya.-K! ONLINE