LEEDS – Bintang Leeds United, Kalvin Phillips didakwa bermain tarik tali dengan Manchester United yang berminat untuk mendapatkan tandatangannya pada jendela perpindahan bulan depan.
Phillips, 26, menjadi sasaran utama pengurus sementara United, Ralf Rangnick yang kagum dengan kebolehannya mengemudi bahagian tengah berdasarkan prestasi dipamerkan ketika mewakili Leeds dan England.
Rangnick dalam satu temu bual di Old Trafford baru-baru ini mengakui, Phillips antara tiga nama berada dalam radarnya selain bintang muda Borussia Dortmund, Jude Bellingham dan Amadou Haidara (RB Leipzig).
Bagaimanapun, Phillips mengambil jalan selamat apabila menegaskan, dia gembira untuk terus berada di Elland Road bersama Leeds yang diwakilinya sejak 2014.
“Saya tidak menjangka bermain daripada Liga Kejuaraan ke Liga Perdana Inggeris dan seterusnya terpilih sebagai Pemain Tahunan Terbaik England. Ia menyedarkan saya yang saya mampu lakukannya.
“Saya berada di sini disebabkan kerja keras selama ini. Saya perlu teruskannya kerana tiada siapa tahu ke mana hala tuju saya selepas ini.
“Saya hanya mahu kembali cergas. Saya sentiasa berhubung dengan pemilik kelab dan mahukan kontrak baharu kerana saya gembira di sini,” katanya.
Walaupun Phillips masih mengalami kecederaan hamstring serius, namun United mahukannya berbanding kapten West Ham United, Declan Rice yang bernilai £100 juta (RM563 juta). – AGENSI