fbpx

China mula uji kaji ‘matahari buatan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dirakam pada 16 Mei 2018 menunjukkan reaktor EAST yang juga dikenali sebagai matahari buatan di sebuah makmal di Hefei, timur China. - AFP

BEIJING – China melakukan eksperimen pelakuran nuklear bagi memajukan projek matahari buatannya, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Institut Sains Fizikal  Hefei mula melakukan uji kaji sistem pemanasan Eksperimen Lanjut Pengalir Lampau Tokamak (EAST) itu pada bulan ini seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi Xinhua.

Tujuan uji kaji tersebut dilakukan adalah untuk membina sebuah matahari buatan yang ‘lebih panas’ dan juga ‘tahan lebih lama’.

China membelanjakan sebanyak 6 bilion yuan (RM3.7 bilion) untuk membina peralatan berbentuk seperti donat dinamakan tokamak itu. Ia menggunakan suhu amat tinggi untuk memanaskan isotop hidrogen dan menukarnya menjadi plasma.

Proses pelakuran itu mengeluarkan tenaga yang besar.

Sekiranya tenaga yang dibebaskan itu boleh disimpan dan digunakan semula, sumber tenaga baharu itu hanya memerlukan sejumlah kecil bahan api dan tidak menghasilkan sisa radioaktif.

“Lima tahun akan datang, kami akan mula membina reaktor pelakuran kami. Proses pembinaan itu mengambil masa 10 tahun. Selepas reaktor itu siap, kami akan membina generator kuasa dan mula menghasilkan tenaga menjelang 2040,” kata Timbalan Pengarah Institut Fizik Plasma di Institut Sains Fizikal Hefei, Song Yuntao.

Proses pelakuran nuklear itu ditiru dalam sistem pemanasan EAST yang mula beroperasi pada 2006.

Proses itu memecahkan rekod pada Jun tahun ini apabila matahari buatan tersebut mencapai suhu 10 kali ganda lebih panas daripada Matahari sebenar. EAST mencapai suhu paling panas mencecah 160 juta darjah Celsius. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI