fbpx

20 dron diaktifkan bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa petugas sedang menyediakan dron dengan barangan keperluan yang akan dihantar kepada mangsa banjir yang memerlukan. - Foto IHSAN MOSTI.

PUTRAJAYA – Sebanyak 20 unit dron telah diaktifkan bagi operasi bantuan pemulihan banjir termasuk kerja-kerja pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal seperti ubat-ubatan, makanan dan ‘powerbank’ di beberapa kawasan di Selangor.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, pengendalian dron berkenaan telah diuji di Perak pada Oktober lalu dan didapati mampu menjimatkan masa juga kos berbanding kaedah logistik seperti menggunakan bot serta mampu melakukan penghantaran ke lokasi mencabar dari segi geografi termasuk ruangan sempit.

“Dron pemantauan dan penghantaran khas ini telah digerakkan ke beberapa kawasan terjejas banjir di Selangor antaranya di Taman Sri Muda, Kampung Lombong dan Lanchong, Kampung Lanchang Jaya, Taman Alam Indah, dan Kampung Jalan Kebun.

“Usaha ini diterajui MOSTI menerusi Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) yang diselaraskan oleh Technology Park Malaysia (TPM) dengan sokongan beberapa syarikat dron tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pesawat udara tanpa pemandu (unmanned aerial vehicle, UAV) juga telah melakukan beberapa perjalanan ulang-alik dalam penghantaran barangan kritikal dengan muatan sehingga 10 kilogram (kg).

“Di Selangor, pasukan PTK2Dron bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk menggerakkan
bantuan segera di samping memudah cara proses antara pengendali dan penyedia perkhidmatan dron dengan pihak berkuasa berkaitan dan memastikan taraf keselamatan dan teknikal dicapai.

“Usaha pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal ini dilaksanakan di Selangor buat masa ini tertakluk kepada keperluan dari semasa ke semasa. PTK2Dron juga bersedia untuk menghulurkan bantuan di lain-lain negeri yang terjejas akibat banjir mengikut kesesuaian, permintaan dan keperluan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, PTK2Dron diperkukuhkan menerusi penyelarasan inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang dilancarkan oleh MOSTI tahun lalu yang menyokong syarikatsyarikat dron mendapatkan sokongan teknikal, pengawal seliaan dan sokongan tapak pengujian.

“Penyelarasan berkenaan juga termasuk menyediakan mereka dengan kes penggunaan khas serta pengurusan bencana dan penghantaran bekalan kecemasan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI