GEORGE TOWN – Bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri seperti di Selangor dan Pahang pada masa ini tidak mengakibatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan sayur untuk kegunaan harian di Pulau Pinang terjejas.
Bagaimanapun, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya menerima aduan bekalan roti jenama Gardenia ke negeri ini agak terjejas susulan banjir di Selangor.
“Pihak KPDNHEP telah berhubung dengan pembekal bahan-bahan mentah dan kami memberi jaminan bahawa bekalan tidak terjejas ekoran banjir di beberapa negeri.
“Ada bekalan yang kita terima dari Selangor seperti ayam, namun mencukupi untuk kegunaan harian penduduk negeri ini,” katanya selepas menghadiri pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2021 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.
Sebanyak 15 jenis barangan antaranya ayam, telur ayam, sayuran dan daging disenaraikan di dalam SHMMP Krismas bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan itu.- K! ONLINE