NEW DELHI – Satu rakaman video menunjukkan seorang wanita diikat pada sebatang tiang bersama kekasihnya sebelum mereka dipukul selama beberapa jam di khalayak ramai menjadi tular di media sosial India, lapor akhbar Daily Star semalam.
Wanita itu didakwa berlaku curang walaupun sudah beberapa tahun berpisah dengan suaminya.
Kejadian tersebut dirakam di Mysuru, negeri Karnataka pada 25 November lalu.
Dalam rakaman itu, seorang wanita telah diikat pada tiang elektrik bersama kekasihnya dengan orang ramai berkumpul sambil menyaksikan kejadian itu.
Wanita itu dilihat menggigil dan tidak mampu bergerak kerana kedua-dua tangannya diikat.
Menurut akhbar tempatan, India Today, wanita berusia 30 tahun itu telah berpisah dengan suaminya dan tinggal bersama kedua-dua orang tuanya sejak tiga tahun lalu.
Dia kemudiannya menjemput seorang lelaki berusia 24 tahun untuk minum teh di rumahnya sebelum abang dan bekas suaminya datang dan menyerang mereka.
Mereka kemudian diseret ke sebatang tiang elektrik terdekat dan dipukul selama beberapa jam.
Ketua kampung yang mendapat tahu tentang insiden itu kemudiannya masuk campur dan membebaskan pasangan itu.
“Kami telah mendaftarkan kes ini dan siasatan sedang dijalankan,” kata seorang pegawai polis tempatan. – Agensi