PETALING JAYA – Memanjatkan rasa syukur selepas doa jodoh diperkenankan Tuhan, pasangan selebriti terkenal Kamal Adli dan Uqasha Senrose selamat berangkat ke Tanah Suci semalam bagi menunaikan ibadah umrah.
Perkara tersebut dikongsi Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 34, dalam satu hantaran Instagram malam tadi sebelum berlepas menaiki penerbangan ke Tanah Suci.
“Saya dan isteri akan berangkat untuk umrah. Kami memohon maaf sekiranya pernah menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Doakan kami mendapat umrah yang mabrur, maafkan kami semua,” katanya.
Sementara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, yang lengkap berpurdah pula memberitahu dia dan suami akan mengadakan solat sunat hajat untuk semua mangsa bencana banjir baru-baru ini.
“Insya-Allah kami juga akan melaksanakan solat hajat memohon kepada Allah SWT untuk semua mangsa banjir. Salam takziah untuk semua mangsa dan semoga Allah akhiri bencana ini.
“Selain itu, terima kasih untuk semua ucapan perkahwinan yang diberikan oleh semua termasuklah doa agar jodoh kami dipanjangkan,” kata pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu.
Sebelum ini, pasangan berkenaan memberitahu akan menunaikan umrah sebagai tanda kesyukuran selepas doa jodoh mereka dimakbulkan Allah.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha selamat mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada 5 November lalu. – K! ONLINE