PETALING JAYA – Orang ramai dirayu hanya menghulurkan sumbangan pakaian yang masih elok dan boleh digunakan untuk diberikan kepada mangsa banjir.
Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, sumbangan yang diberi perlu ikhlas supaya sumbangan tidak menjadi sampah.
“Kita hendak beri sesuatu sumbangan biarlah ia berbaloi dengan penerima. Bukan barang yang kita sendiri sudah tidak mahu pakai langsung. Bukan yang sudah patut masuk ‘kitar semula’.
“Longgokan baju (pakaian) ini “confirm” tidak ada orang ambil kerana keadaannya yang lusuh, basah dan berbau.
“Bagi sesetengah orang kerja kebajikan hanya sekadar datang memberi bantuan. Buat mereka yang memahami ia adalah sebuah kehidupan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohd. Ashraff Khan seterusnya mencadangkan perkara yang wajar dilakukan oleh orang ramai yang mahu memberi sumbangan pakaian kepada mangsa banjir.
Kata beliau, langkah pertama adalah mengasingkan kesemua pakaian mengikut jenis, jantina dan anggaran umur.
Tambah beliau, pakaian dalam juga perlu diasingkan mengikut saiz dan seeloknya beri yang baru, bersih dan wangi.
“Bukan yang bertahi lalat, lubang sana sini, getah bra londeh boleh ikat buat kelapa,” katanya.
Kata beliau, langkah seterusnya menulis pada bungkusan tentang pakaian yang disumbangkan supaya mudah untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Kalau hendak beri apa-apa barang kepada orang (mangsa banjir) biarlah cemerlang sikit. Bukan barang yang sudah boleh masuk “scrap”,” katanya. – K! ONLINE