PEMEGANG rekod 200 meter (m) kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib berpuas hati dengan prestasinya apabila muncul pelari terpantas negara dalam acara 100m dan 200m untuk tahun ini.
Russel yang berpangkalan di Australia, berjaya melakukan larian dengan catatan masa 10.46 saat (s) untuk 100m dan 20.89s bagi acara 200m dalam satu kejohanan olahraga di Queensland awal bulan ini.
“Saya sangat berpuas hati kerana dua catatan masa ini adalah yang kedua terbaik dan sudah tidak jauh dengan rekod peribadi. Saya juga diberitahu ia adalah masa terpantas 100m dan 200m untuk atlet Malaysia tahun ini.
“Saya anggap ia sebagai ganjaran yang istimewa selepas berusaha keras sepanjang tahun ini. Saya cuba pelbagai cara baharu untuk tingkatkan tahap larian dan kini kami sudah tidak sabar untuk tahun depan.
“Matlamat saya yang pertama adalah melayakkan diri ke beberapa temasya besar tahun depan seperti Sukan SEA. Saya dapat merasakan diri saya berada di landasan tepat sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Difahamkan, catatan masa 100m dan 200m dilakukan pelari berusia 23 tahun itu dikatakan sudah melayakkan diri ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei tahun depan.
Bagaimanapun, Russel yang memegang rekod 200m kebangsaan dengan catatan 20.77s itu masih belum pasti sama ada dia sudah layak ke temasya sukan berprestij Asia Tenggara tersebut.
“Saya tidak begitu pasti bagaimana proses pemilihan ke Sukan SEA. Namun, jika benar saya sudah layak lebih awal, ia memberikan peluang untuk saya menyiapkan diri lebih ampuh,” jelasnya.