BINTANG bola jaring Kedah, Izyan Syazana Mohd. Wazir percaya mereka berada di landasan tepat untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu sebagai empat kuasa besar tanah air.
Kedah sebelum ini terpaksa menerima hakikat perit apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Malaysia sewaktu saingan edisi pertama Netball Super League (NSL) awal tahun ini.
Bagaimanapun, Izyan percaya barisan pemain kali ini mampu mengubah senario itu dengan mencapai sasaran mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2021.
Keyakinan itu hadir selepas Kedah berjaya merakam kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan B dengan menewaskan pasukan tempat keempat NSL musim ini, Perak 37-24 di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
“Kedah tidak masuk kelompok empat terbaik pada NSL. Kiranya Kedah bersedia untuk lakukan kebangkitan kali ini kerana sasaran kami adalah ke separuh akhir.
“Apa-apa pun, esok (hari ini) kami perlu menang ke atas PDRM dan seterusnya suku akhir untuk capai sasaran ke separuh akhir,” kata Izyan kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, bekas goal attack skuad kebangsaan itu menggesa rakan-rakan sepasukan agar tidak cepat mendabik dada, sebaliknya meningkatkan tahap permainan untuk aksi terakhir Kumpulan B menentang PDRM hari ini.
“Suku pertama kami bermain agak kelam kabut, mungkin kerana ada pemain baharu dalam pasukan kali ini. Namun, kombinasi kami dalam suku masa kedua lebih baik.
“Bagi saya, kami perlu tingkatkan dari segi komunikasi di bahagian tengah ketika melakukan serangan. Ia perlu diperbaiki sedikit kerana boleh nampak aspek itu ada masalah sedikit hari ini (semalam),” jelas Izyan.