fbpx

Harimau Kumbang bersiap sedia awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRUCHA masih mendapat kepercayaan untuk mengendalikan skuad Penang FC yang turut diperkuatkan dengan kehadiran Yee Fatt sebagai penolong jurulatih.

PASUKAN Penang FC menjadi kelab pertama Liga Malaysia (Liga M) yang melakukan sesi latihan pramusim pada awal minggu ini sebagai persiapan mengharungi kempen musim 2022 dengan mengekalkan khidmat Thomas Trucha sebagai ketua jurulatih.

Lebih menarik, skuad Harimau Kumbang yang menduduki tangga ketiga saingan Liga Super musim lalu turut mengesahkan kehadiran bekas pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt selaku penolong ketua jurulatih kepada Trucha.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penang FC, Trucha terus diberi amanah untuk menyam­bung tugas sebagai ketua jurulatih selaras dengan terma dan syarat yang ditetapkan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) musim depan juga telah diberikan.

“Susulan perkhabaran awal diterima berhubung kemungkinan dikenakan syarat untuk mempunyai dua orang jurulatih dengan kelayakan lesen Pro AFC, Penang FC mengambil peluang mengisi jawatan penolong jurulatih ­kedua buat Yee Fatt.

“Pengisian jawatan ini dibuat dengan mengambil kira keper­luan kelab untuk sentiasa memastikan keupayaannya mematuhi apa-apa syarat pelesenan yang ditetapkan selain mengawal bajet kelab.

“Yee Fatt akan bersama Manzoor Azwira yang turut dikekalkan sebagai penolong jurulatih kepada Trucha pada musim depan sebelum diberi peranan selaku ketua jurulatih pasukan bagi tahun 2023 jika selesai kursus lesen Pro AFC nanti.

“Selain itu, pasukan juga me­lantik pengarah teknikal baharu iaitu Kamal Kalid yang menggantikan posisi S. Gobiraj yang kini ditugaskan sebagai pengurus skuad Piala Presiden Penang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, beberapa pemain baharu Penang FC turut melaporkan diri pada minggu ini seperti Faiz Subri, Azzizan Nordin, Faiz Mazlan, Hamran Peter dan Aidil Azuan.

“Beberapa lagi pemain skuad utama dijangka akan turut bersama pasukan pada minggu depan, manakala pemain import dijangka akan pulang ke Pulau Pinang pada awal Januari nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI