fbpx

995 kapal persiaran singgah Pulau Pinang tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong (tiga dari kiri) dan Teik Cheng (empat dari kiri) pada Majlis Pembukaan Semula Industri Kruis di Malaysia di SPCT, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 995 buah kapal persiaran dijangka membuat persinggahan di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini sepanjang tahun hadapan melibatkan pengendalian 660,318 penumpang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 58 persinggahan kapal persiaran bermula semula semalam sehingga Mac tahun hadapan melibatkan pengendalian seramai kira-kira 47,000 penumpang.

Menurut beliau, ketika ini Genting Cruise Lines menjadi operator kapal persiaran pertama yang memulakan pelayaran domestik dengan kapal persiaran Star Pisces bermula semalam, manakala sebuah lagi operator dijangka menawarkan perkhidmatan mereka pertengahan bulan depan.

“Sudah semestinya, pembukaan (semula) industri kapal persiaran domestik ini akan melimpah faedah kepada para peniaga kecil dan sederhana, pengusaha teksi dan e-hailing, penarik beca, pengusaha restoran dan pihak-pihak berkepentingan lain dalam industri pelancongan.

“Saya berharap operasi domestik ini dapat terus berjalan dengan lancar mengikut SOP yang ditetapkan sekali gus menarik lebih ramai pelancong dalam negara dengan menaiki kapal persiaran,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pembukaan Semula Industri Kruis di Malaysia di SPCT di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng.

Dalam majlis sama, Teik Cheng turut mengumumkan derma sebanyak RM150,000 kepada mangsa bencana banjir di seluruh negara yang disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak-pihak terlibat termasuk operator akan bekerja keras untuk mendapatkan kebenaran pembukaan kapal persiaran bagi pelayaran antarabangsa.

Namun katanya, buat masa ini pembukaan sektor antarabangsa itu tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19 apatah lagi dengan kebimbangan banyak negara terhadap ancaman varian baharu Omicron.

SPCT mencatatkan jumlah penumpang kapal persiaran melebihi sejuta orang setiap tahun dari 2013 sehingga 2019 sebelum menghentikan operasi sejak April tahun lalu akibat pandemik Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI