SELEPAS berjaya meloloskan diri masuk dalam industri seni hiburan tanah air dengan bergelar pelakon dan sudah membintangi beberapa drama, pesohor media sosial Coki meluaskan kariernya dengan menyanyi pula.
Mencuba peluang menjadi penyanyi, anak muda itu memulakan introduksi dalam industri dengan mempertaruhkan lagu Apa Apa Rojer.
Karya yang diterbitkan oleh Mixologi Music dan dicipta oleh DJ Fuzz tersebut menyaksikan Coki tampil berduet dengan penyanyi rap, Waris.
Biarpun ini merupakan kali pertama menghasilkan lagu, tetapi Coki tampil berani dengan menyelitkan elemen sinikal atau sindiran dalam Apa Apa Rojer.
Sindiran pedas yang dilagukannya ditujukan kepada pihak-pihak tertentu yang tidak patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan.
Tidak terkecuali, buat golongan selebriti yang melakukan perbuatan sama apabila ada yang dilihat seperti sengaja berbuat demikian sehingga menaikkan kemarahan netizen.
Akibatnya, anak seni lain turut terkena tempias dan itulah jalan cerita yang menjadi kisah dalam lirik lagu Apa Apa Rojer.
Menurut Coki atau nama sebenarnya Muhammad Danish Daniel, sedar dengan risiko kritikan dan kecaman yang mungkin diterimanya selepas ini, dia bagaimanapun sudah bersiap sedia untuk semua itu.
“Saya dah bersedia untuk terima kecaman. Bukan nak berlagak, tapi saya dah tahu kalau kita keluarkan lagu ini, mesti netizen cari kesalahan.
“Saya hanya menjalankan tugas dan perkara yang disebut dalam lirik lagu ini semuanya betul, bukan propaganda. Jadi, boleh kecam saya,” ujarnya yakin.
Penyanyi berusia 16 tahun itu tidak datang dengan tangan kosong sebelum menjadi penyanyi kerana dia banyak menuntut ilmu dan tunjuk ajar daripada DJ Fuzz dan Waris tentang teknik vokal.
“DJ Fuzz dan Waris banyak mengajar saya tentang teknik vokal sepanjang sesi rakaman. Saya banyak belajar daripada mereka tentang industri muzik,” katanya.
Ada bakat
Menurut DJ Fuzz yang bertindak selaku komposer untuk lagu Apa Apa Rojer, dia memandang remaja itu sebagai bakat baharu yang boleh digilap dan berpotensi menjadi artis rakaman.
Semuanya dibuktikan apabila Coki sangat mudah diajak bekerjasama dan mengambil masa yang cukup singkat untuk merakam lagu tersebut.
“Dia ada bakat menyanyi tapi Coki jarang tonjolkan kebolehannya itu. Jadi kami cuba buat Apa Apa Rojer dan dia siapkan rakaman sekali ‘jalan’ saja. Tak macam orang lain yang memerlukan beberapa hari,” ujarnya memuji bakat muda itu.
Lagu Apa Apa Rojer tersedia dalam semua platform penstriman termasuk YouTube sejak 2 Disember lalu.