PUTRAJAYA – Kerajaan melanjutkan Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga 30 Jun tahun hadapan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, keputusan melanjutkan program tersebut telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya yang diadakan semalam.
Menurut beliau, semua PATI dinasihatkan supaya hadir ke kaunter program tersebut dalam tempoh 24 jam dan tidak datang terlalu awal bagi mengelakkan kesesakan di lapangan terbang atau terminal jeti.
“Sejak program ini dilaksanakan sehingga kelmarin, seramai 192,281 PATI telah berdaftar untuk pulang secara sukarela melalui program ini dengan tiga negara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu Indonesia (99,047), Bangladesh (26,821) dan India (23,844).
“Daripada jumlah ini, seramai 162,827 PATI telah pulang ke negara asal masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE