PETALING JAYA – Akhirnya selepas dua tahun, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi realiti di sebalik penghasilan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour di tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam filem dokumentari Siti: Are You Ready?.
Pelbagai momen suka duka dikongsi buat pertama kali antaranya sewaktu konsert di Jakarta, Indonesia hampir dibatalkan kerana pembelian tiket yang kurang memberangsangkan.
Masalah berkenaan timbul kerana pihak yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja promosi di Indonesia tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.
“Saya sempat fikirkan apa yang terbaik pada saat akhir untuk tingkatkan penjualan tiket di sana. Jadi, saya pergi lebih awal ke Jakarta daripada perancangan asal.
“Saya juga minta pertolongan rakan-rakan artis di Indonesia untuk promosikan konsert saya dalam Instagram mereka. Saya cuba sehabis baik, suami pun bersama-sama fikirkan yang terbaik termasuklah mengeluarkan bajet untuk masuk iklan dalam radio di Indonesia.
“Selain itu, saya juga pergi ke semua stesen radio dan televisyen yang boleh untuk tujuan promosi. Alhamdulillah pada hari konsert stadium penuh dengan peminat dan semuanya berjalan dengan lancar,” kongsi Siti tentang cabaran yang dihadapinya.
Selain itu, turut dipaparkan pihak penaja menarik diri pada saat-saat akhir sebelum konsert berlangsung.
“Sebenarnya, banyak lagi kisah yang kami tidak masukkan kerana sensitif. Namun akhirnya semua yang dirancang menjadi seperti kami inginkan iaitu membuat persembahan terbaik dan konsert berjalan dengan lancar,” ujar Siti.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu berharap filem dokumentari Siti: Are You Ready? dapat membuka mata banyak pihak tentang cabaran yang dilalui oleh seorang insan seni sepertinya.
Beliau juga berharap filem dokumentari berdurasi 80 minit tersebut akan memberi inspirasi bukan sahaja untuk anak seni, tetapi juga wanita di luar sana yang bergelar ibu yang terpaksa menggalas pelbagai tanggungjawab lain.
“Persiapan awal itu penting dalam pembikinan sebuah konsert. Ini satu cerita kisah benar yang dipaparkan. Sebelum ini orang di luar sana melihat kami di atas pentas dalam masa satu jam dengan penuh kagum.
“Sebaliknya apa yang mereka tidak tahu terdapat cabaran yang kami lalui untuk menjadikan konsert ini berjaya.
“Kami lakukan konsert ini kerana rasa tanggungjawab dan cinta terhadap muzik serta peminat,” ujar Siti pada majlis sidang akhbar filem dokumentari berkenaan di Pavilion Kuala Lumpur semalam.
Filem dokumentari tersebut boleh ditonton menerusi Astro First bermula 30 Disember ini.
Pada harga RM19.90, penonton boleh menonton kedua-dua filem dokumentari dan konsert selama dua hari secara berulang-ulang.
Buat mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, anda boleh menonton dalam platform Vimeo on Demand bermula 30 Disember ini.
Terkesan dengan musibah banjir yang melanda negara, pihak penerbit, Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. berbesar hati menyumbang sebahagian daripada kutipan tontonan filem dokumentari tersebut untuk bantuan mangsa banjir. – K! ONLINE