RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sebanyak 350 kilogram (kg) karkas babi hutan dan 3.5kg karkas musang ke negara jiran gagal apabila dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Kampung Bukit Nangka, Tanah Merah semalam.
Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang semasa memandu sebuah kereta jenis Proton Wira di kawasan tersebut.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota bertugas melihat sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin.
Menurutnya, anggota PGA telah bertindak menahan kereta tersebut untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan di bahagian but kereta itu telah menemui karkas babi hutan dan musang yang dianggarkan bernilai RM8,855. Siasatan mendapati karkas itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran,” katanya.
Azhari memberitahu, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah mengenai barangan yang dibawanya semasa ditahan anggota PGA. – K! ONLINE