PETALING JAYA – Siapa pernah menyangka untuk menggapai kejayaan seusai tamat pengajian tinggi.
Namun, seawal usia 21 tahun, pasangan suami isteri, IDr. Lokman Hakim Ahmad Subki dan IDr. Rabiatul Adawiyah Rasol yang berjaya menubuhkan syarikat reka bentuk dalaman yang dikenali dengan IDW Design & Build Sdn. Bhd., (IDW).
Mula bertapak dalam industri pada 2007 apabila masing-masing baru sahaja tamat pengajian Diploma Rekaan Dalaman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Langit tidak selalu cerah. Dalam ketika pasangan ini masih berjinak untuk meneroka selok-belok perniagaan, mereka juga tidak terlepas dari menghadapi kesukaran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang keperluan konsultasi hiasan dalaman.
Ini kerana orang ramai masih tidak terbuka untuk membayar bagi sebuah idea sehingga ada yang pernah memperlekehkan usaha mereka.
Tidak lama kemudian, pasangan suami isteri ini seperti berada dalam fantasi apabila ditawarkan projek pertama mereka untuk membina sebuah banglo berharga RM1.1 juta.
Tidak terhenti disitu, hasil usaha keras dan keazaman yang tinggi, dua tahun kemudian IDW menerima satu lagi projek besar di bangunan Kolej Antarabangsa KFCH di Johor.
“Itu merupakan percubaan pertama kami mengendalikan projek berskala besar (80,000 kaki persegi) dan ia berjaya dilunaskan dalam masa setahun setengah.
“Projek besar itu mendapat perhatian ramai pihak dan meletakkan IDW lebih jelas dilihat dipersada tanah air serta negara jiran,” kata Lokman Hakim.
Penglibatan IDW bukan sahaja terbatas dalam industri tempatan sahaja. Malah, syarikat ini juga melihat peluang untuk menerokai pasaran antarabangsa.
Justeru, inisiatif untuk melibatkan diri dalam Ekspo Dunia menjadi salah satu aktiviti wajib bagi mereka untuk mendapatkan inspirasi dan meluaskan pendedahan dalam bidang ini.
“IDW sering menghadiri Ekspo Dunia yang diadakan 5 tahun sekali ini tanpa gagal bermula dari Shanghai 2010, Milan 2015 dan kini Dubai 2020.” ujar Rabiatul.
Tambahnya, IDW akan menganjurkan Mega Consultation Days terbuka untuk rakyat Malaysia bagi merasai pengalaman konsultasi reka bentuk dalaman secara percuma terhad untuk tujuh hari sahaja.
“Kami baru sahaja tiba, tetapi tidak sabar untuk membawakan suasana Dubai ke rumah rakyat Malaysia dengan sentuhan moden, mewah dan eksklusif.
“Ia akan diadakan selama seminggu bermula 24 hingga 31 Disember 2021 ini. IDW membuka pejabat baru kepada umum dan menawarkan rundingan percuma kepada orang ramai. Anda hanya perlu layari laman sesawang www.idw.design.com.my. – K! ONLINE